Jenazah mangsa tragedi selamat dikebumikan dalam satu liang*
Anak yatim maut tertimbus syahid
SHAH ALAM - Kematian mereka bukan sia-sia. Allah sudah janjikan ganjaran syahid bagi sekumpulan anak yatim terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, petang semalam.
Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mengikut hukum, Islam yang menemui ajal secara tragis se-perti akibat kebakaran, kemalangan jalan raya atau bencana alam dan mati ketika tidur, dikategorikan sebagai syahid.
“Mereka dapat syafaat Allah, itu janjiNya,” katanya. Beliau mengulas kematian anak-anak yatim penghuni Rumah Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, petang semalam.
Bagaimanapun menurut Mohd Tamyes, jenazah mereka masih perlu diurus seperti jenazah mati biasa, iaitu mandi, kafan dan disolatkan. Beliau mengingatkan pengasas rumah kebajikan, termasuk rumah anak yatim di seluruh negara, pastikan bangunan mereka tiada risiko musibah.
“Jangan bina di lereng bukit atau berhampiran dekawasan bahaya kepada penghuni,” katanya. -SH
Tanah Runtuh: Tujuh Jenazah Kanak-Kanak Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahat
KAJANG: Suasana sayu menyelubungi sekitar Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah Batu 14 bagi menunaikan solat jenazah sebelum dikebumikan selepas Zohor.
Kesemua tujuh jenazah kanak-kanak mangsa tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim Malaysia Madrasah Al-Taqwa di Batu14, Hulu Langat, akan dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan orang Islamdekat sini.
Terdahulu lima mayat kanak-kanak iaitu Mohd Azret Azahari, 8; Mohd Zaid Azahari, 14; Mohd Imal Fahad, 9; Mohd Mustakim Mamat, 12 dan Wan Ahmad Hasrim Hazim, 11 sampai di masjid sekitar pukul 10.45 pagi.
Sementara dua lagi mayat terakhir iaitu Dzahir Haziq, 11 dan Mohd Hazim Sapri, 10 selamat sampai di masjid pada pukul 11.05 pagi.
Pembantu rumah anak-anak yatim berkenaan, Yazid Ishak ketika ditemui berkata baki sembilan lagi mayat yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh telah dituntut oleh waris masing-masing untuk diurus dan dikebumikan. "Di sini kita akan solat dan kebumikan tujuh jenazah secara bersama...jenazah-jenazah lain sudahpun dituntut waris mereka," katanya.
Hingga berita ini ditulis, waris tujuh mangsa berkenaan diberi pelung terakhir untuk melihat jenazah sebelum ditutup untuk disolat dan dikebumikan. Kira-kira 500 orang awam termasuk waris mangsa berada di sekitar kawasan masjid. -mstar
(Update Terkini 5.30am) - 17 mayat berjaya dikeluarkan ! [Foto yang tidak disiarkan akhbar]
" Dilaporkan pada jam 5 pagi tadi, 17 mayat remaja lelaki berjaya dikeluarkan dan sebilangan jenazah di hantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. Takziah kepada semua keluarga mangsa berhadapan kesedihan tidak diduga.Saya percaya siasatan terperinci dan telus berhubung punca sebenar menyebabkan kejadian tanah runtuh akan dilakukan pihak berwajib. Mahu atau tidak, pasti ada pihak bakal terpaksa menjawab mengenai status kelulusan membenarkan bangunan dibina dicerun bukit.," - Mazidul Akmal Sidek
Catatan dan Foto yang tidak diterbitkan dimana-mana media cetak. Artikel ini ditulis oleh wartawan Mazidul Akmal Sidek yang berada sejak petang kelmarin sehingga jam 1 pagi tadi di tapak kejadian. Ikuti sebahagian laporannya.
Jam 6 petang, hujan turun mencurah curah, tiada tempat berteduh kecuali di bawah pokok di tepi jalan. Saya berasa bimbang jika barangan elektronik, antaranya Samsung Galaxy Tap dan kamera digital terkena air. Mujur beg galas Crumpler saya tidak ditembusi air. Lihat gambar saya rakamkan di lokasi kejadian tanah runtuh menimpa bangunan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, Kajang, Selangor.
6.09 petang, mangsa mengalami kecederaan parah di kaki digegaskan ke hospital.
Pakaian basah dan tubuh menggigil kesejukan akibat berada di dalam hujan lebih 1 jam. Jam 6.45 ketika hujan mula reda, tiba-tiba puluhan pekerja penyelamat berlari turun dari belakang bangunan dibina di lereng bukit kerana berlaku pergerakan tanah. Lensa kamera saya berkabus namun 3 gambar berikut sempat saya rakamkan.
Sebelum gambar dirakamkan, 2 mangsa dikeluarkan dari bawah runtuhan, maut. Hairan bagaimana bangunan separuh siap itu mendapat kelulusan didirikan di cerun bukit. Lokasi rumah runtuh, di bahagian atas belakang bangunan terbabit dan tidak kelihatan di dalam gambar kerana pihak media tidak dibenarkan mendekati kawasan bencana.
Di surau berhampiran, 2 mayat ditemui awal, sempurna dikafankan. Tidak ramai orang berada di lokasi terbabit kerana majoriti menumpukan perhatian terhadap usaha menyelamatkan mangsa masih tertimbus.
Saya difahamkan, seorang daripada mangsa, Mohd Zaim Azahari, berusia 14 tahun. Adiknya, Mohd Azed, 8 tahun dilaporkan turut terkorban. Saya sempat menemui bapa dan ibu mangsa, Azahari Mat Selek dan Noreha Ariffin di surau terbabit sebelum mayat dihantar ke Hospital Kajang.
Azahari, warden manakala Noreha, tukang masak di asrama Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa terbabit.
Saya percayai kanak-kanak bertudung merah di bawah, adik Mohd Zaim, terselamat ketika bangunan runtuh. Saya terpandang air mata jernih masih mengalir di pipinya sewaktuanak kecil itu melangkah keluar dari surau. Biarpun berusia mentah, saya yakin dia faham, abang dan adiknya kini sudah tiada lagi di dunia ini.
Catatan sebelum ini : TRAGEDI TANAH RUNTUH - 12 MAUT !
Sebanyak 12 mayat berjaya dikeluarkan dari tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia, Hulu Langat yang berlaku pada pukul 2.30 petang, Sabtu. Polis memaklumkan sehingga pukul 10.30 malam, sembilan lagi ditemui cedera termasukseorang lelaki dewasa berusia 22 tahun.
Sebanyak empat mangsa masih tertimbus dalam runtuhan itu. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba bagi meninjau tempat tragedi tanah runtuh kira-kira pukul 11.05 malam.
Terdahulu, sehingga pukul 7 malam, anggota bomba dan penduduk berjaya menyelamatkan tujuh mangsa yang terdiri daripada enam pelajar berusia antara 11 dan 17 tahun serta seorang penjaga di rumah anak yatim berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada satu sidang akhbar di sini berkata, 14 mangsa masih terperangkap dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kajang dan Hospital Ampang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui.
Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Dalam insiden malang itu, sebanyak 24 orang terselamat sementara 20 pelajar dan 4 penjaga menjadi mangsa. Tambahnya, kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.
Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang ini. Ekoran itu, bangunan setingkat itu musnah sama sekali dan sebuah surau berdekatan turut terkena runtuhan tanah itu.
Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat sehingga pukul 7 petang ini. (Mstar)



