Syukur !
SIARAN MEDIA
Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamamualaikum dan salam sejahtera
Marilah kita semua mengucapkan setinggi syukur kehadrat Ilahi diatas segala nikmat yang telah dicurahkan semenjak dilahirkan ke dunia sehingga ke detik ini. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw yang telah menyempurnakan amanah dalam menyampaikan risalah Islam untuk dinikmati semua makhluk di seluruh alam semesta.
Saya telah dihubungi oleh ramai kawan melalui pelbagai saluran semenjak semalam sebagai respon kepada keputusan yang dibuat oleh Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM. PPO yang mewakili SPRM bersidang semalam telah membersihkan nama saya daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa semasa berada di PMBK dengan menyatakan kes siasatan telahpun ditutup.
Berita mengenai perkara ini juga telah dilaporkan dalam buletin AWANI dan beberapa portal berita serta blog pada hari ini Jumaat, 24 Februari 2012.
Saya ingin menyatakan setinggi-tinggi syukur kehadrat Allah swt kerana telah membebaskan saya daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa yang disebarkan, seterusnya membersihkan nama saya dari persepsi negatif semenjak kes ini berjalan.
Sememangnya siasatan kes ini memakan masa yang agak panjang, semenjak September 2009 dan melibatkan banyak pihak yang bersangkutan. Alhamdulillah saya sentiasa tenang dalam menempuh dugaan ini. Penantian untuk mendapatkan keputusan kes yang dilihat tergantung sepanjang tahun 2010 dan 2011 mungkin juga kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor politik, terutama musuh PAS, lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum akan datang.
Keputusan kes ini juga memberikan saya ketenangan yang lebih sempurna dalam merancang kehidupan kami sekeluarga dengan lebih baik.
Dikesempatan ini juga saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama ayahanda Tok Guru dan kedua-dua bonda di atas doa berterusan untuk kesejahteraan saya sekeluarga. Tidak lupa kepada kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dan sentiasa yakin bahawa saya di pihak yang benar.
Terima kasih yang teristimewa kepada isteri saya yang tercinta kerana sentiasa berada disisi saya di saat sukar dan memberi sokongan yang bermakna dalam hidup saya. Akhir sekali, saya mendoakan semoga apa yang berlaku selama ini mampu mematangkan saya dalam menempuh kehidupan pada masa hadapan. Apa yang lebih penting, dengan keputusan terbaru ini ianya secara langsung dapat membunuh segala persepsi negatif hasil dari adu domba dan gelombang fitnah terancang oleh pihak tertentu ke atas saya. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan hidayat dan berkat Allah swt jua.
Ir Abdul Ariffahmi Bin Ab Rahman
24 Februari 2012
Pulau Melaka
March 21, 2012 at 4:59 PM
wak kenapa menyepi? apahal wak?