(4) Drama menyelamat yang mendebarkan !
Operasi bagi menyelamatkan pelombong yang terperangkap selama 69 hari dalam lombong emas dan tembaga di gurun Atacama, utara Chile, disifatkan Presiden Chile, Encik Sebastian Pinera, sebagai 'tiada bandingannya di dunia'.
'Operasi menyelamat serupa ini tidak pernah dilakukan sebelum ini,' katanya semalam.Para pekerja penyelamat menghantar kapsul logam mirip peluru berpandu sepanjang empat meter - diberi julukan Phoenix - untuk menarik keluar pelombong satu persatu ke permukaan bumi.Seramai 33 pelombong terpe- rangkap di dalam lohong sedalam 625 meter di bawah tanah sejak 5 Ogos lalu apabila 700,000 tan batu runtuh lalu menutup jalan keluar dari dasar lombong.
Setelah 17 hari mereka disangkakan sudah mati. Namun, secebis nota yang dikirim ke atas pada 22 Ogos lalu melalui satu lohong penyelamat yang digerudi mendapati mereka masih hidup. Sejak itu operasi menyelamat menjadi perhatian seluruh dunia.Makanan, air, oksigen dan saluran komunikasi dikirim kepada pelombong tersebut melalui lubang sampingan. Kemudian kapsul penyelamat dibina khas bagi membawa mereka keluar.
Masalah teknikal terburuk yang boleh berlaku ialah jika ada seketul batu jatuh, ia boleh menyebabkan kapsul tersendat dan tidak boleh bergerak, kata penyelaras operasi menyelamat, Encik Andre Sougarett, kepada Associated Press.
Kapsul berkenaan dijangka mengambil masa 15 minit untuk membawa pelombong naik.Tetapi jika mereka terpaksa dibawa naik dengan pantas, kelajuan boleh ditingkatkan sehingga tiga meter sesaat, kata Menteri Kesihatan, Encik Jaime Manalich. Pakar-pakar menjangka operasi menyelamat pelombong terakhir hanya dapat diselesaikan selepas 36 jam, yakni hari ini. Para pelombong yang menggelar diri mereka '33' ternyata sehati sejiwa dan kental dengan semangat setiakawan. Orang pertama dipilih untuk dibawa keluar ialah penolong formen, Encik Florencio Avalos, 31 tahun, kerana beliau yang paling sihat dan tegap.
Tetapi mereka saling berbalah untuk menjadi orang terakhir diselamatkan, namun akhirnya memutuskan formen Luis Urzua, 54 tahun, yang kepimpinannya membantu pelombong bertahan selama 17 hari tanpa komunikasi dengan dunia luar, sebagai orang paling akhir dibawa keluar.
Mereka malah mahu menunggu sehingga kesemua 33 orang ditarik keluar sebelum dibawa ke hospital secara berkumpulan, kata Encik Manalich. Pihak berkuasa sebenarnya mahu menerbangkan setiap pelombong secepat mungkin ke hospital bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan, jelasnya.
'Rakyat Chile dan seluruh dunia tidak akan melupakan malam ini,' kata Encik Pinera kepada lebih 1,000 wartawan di tapak lombong.'Apabila (rakyat) Chile bersatu, terutama pada waktu sukar, kita dapat melakukan perkara yang besar,' tegasnya. -- Agensi.| http://cyberita.asia1.com.sg | sumber dipetik dari cacarmarba blog
0 comments:
Post a Comment