Biarkan 'bulan' bicara....!
Biar "BULAN" Bicara. Bicara tentang apa? Tentang warna hijau didokong sebagai lambang sebuah pertubuhan yang memperjuangkan islam atau tentang dasar parti yang perlu diubah supaya mengikut kehendak semasa atau Bulan hanya mampu menyinar di gelanggang sendiri.
Perlukah adanya satu perubahan secara total bagi mengemerlapkan sebuah parti yang berlambangkan bulan ini sekali gus menjadi seperti bintang yang sentiasa bersinar bukan setakat di Kelantan dan Kedah tapi mampu menyelinap masuk dengan potensi dan keupayaan sendiri di beberapa buah negeri lain.
Peranan dan hala tuju PAS perlu lebih moden dan mampu menjadi jenama yang cukup kuat untuk sentiasa diingati. Istilah "Ayam sabung" untuk sesetengah penceramah tidak lagi releven buat masa sekarang. Peranan "ayam sabung" tidak boleh dilihat sebagai penggempur lagi kerana masyarakat sekarang sudah mempunyai doktrin baru yang disedut dari kecanggihan teknologi internet dan disedut terus melalui hujung jari. Masyarakat tidak lagi mudah dimomok dengan jenaka-jenaka kosong dalam setiap siri ceramah tapi lebih kepada intipati sebenar perjuangan dan jaminan masa depan. Jaminan yang bukan setakat hadir ketika kempen pilihanraya tapi secara terus menerus selagi bergelar wakil rakyat.
Persoalan-persoalan begini seharusnya dilihat sebagai perkara yang perlu dikaji dan diteliti. Kekalahan PAS dalam beberapa siri pilihanraya kecil dan yang paling menyedihkan apabila Barisan Nasional berjaya merampas kembali kerusi Galas yang sebelum ini di bawah PAS sedikit sebanyak memberi kesan psikologi kepada penyokong PAS dan pengundi pengundi atas pagar. Mereka ini akan menilai keupayaan sebenar PAS. Apakah hanya beralasankan projek projek segera Barisan Nasional dan janji janji BN yang menyebabkan kekalahan PAS di Galas telah cukup untuk menutup kelemahan PAS. Apa yang perlu sebenarnya adalah melihat secara menyeluruh keupayaan sebenar PAS di kawasan terbabit. Apakah masalah rakyat sebelum ini dipertimbangkan sewajar mungkin atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Sejauhmana mesranya wakil rakyat terdahulu? Apakah masalah rakyat didengar dan diambil tindakan.
Belum reda dengan kekalahan di Galas, sekali lagi PAS ditumbangkan di Tenang dengan majoriti yang besar. Penurunan jumlah undi yang memihak kepada PAS sekali lagi memberi tamparan hebat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Sekali lagi suara-suara sama berbunyi. Pelbagai alasan mula timbul dan pelbagai andaian yang menyebabkab kekalahan mula tercipta. Sekali lagi kita mencari di mana silapnya. Calon yng silap atau demokrasi dan hak bersuara di Malaysia sudah tercemar dan ternoda. Kekalahan di Tenang mungkin tidak lah dirasai sangat oleh PAS dan Pakatan Rakyat kerana Tenang merupakan kubu kuat UMNO yang juga berada di negeri yang tertubuhnya UMNO, tapi PAS dan Pakatan Rakyat perlu mengambil iktibar dari kekalahan ini dalam pelbagai aspek.
Keupayaan jentera PAS dan Pakatan Rakyat serta kaedah mengambil hati pengundi apakah bersesuaian dengan "trend" sekarang. Apakah hanya kerana beras sekampit dan kain pelikat cap gajah sudah memadai untuk memujuk pengundi menerima PAS. Mungkin belum sempat untuk muhasabah dan membuat penilaian secara mendalam kerana ada dua lagi PRK yang menanti iaitu di Merlimau dan Di Kerdau. 17 PRK sudah pun berlalu sepanjang penggal PR 12 ini dan khabarnya boleh dicatatkan dalam "Gennius book of record" .
Samada sedar atau tidak, pengundi telah dan sedang membuat penilaian. Perubahan adalah perlu. Yang takut berubah akan kalah. Yang pasrah dengan kekalahan akan tetap kalah. berubahlah untuk berjaya.
sekian wassalam
Pak Katib
18 Februari 2011
** ini adalah pandangan peribadi penulis untuk sama sama direnungi***
0 comments:
Post a Comment