(14) Muktamar PAS - Kem ulamak, sila ucapkan tahniah untuk mat sabu !
albanjari | Kg. Milah
Sekiranya PAS inginkan ulamak berada di kerusi no.2, dan mengelakkan undi pecah, maka diantara 2 calon dari ulamak itu perlu salah seorangnya undur diri. Tidak sukar untuk mencatur ! Andai terus degil, biarkan penulis terlebih dahulu memberi ucap tahniah untuk Mat Sabu ! Nantikan esok tulisan berbisa AB Albanjary di sini - satu pandangan peribadi dari beliau.
Caturan Tuan Ibrahim ‘kelebihan’ Mat Sabu?
ANALISIS, 26 Mei — Selepas Datuk Seri Abdul Hadi Awang disahkan mengekalkan jawatannya tanpa saingan, tumpuan kini beralih kepada kemungkinan pertarungan sengit bagi jawatan timbalan presiden PAS yang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Daripada enam calon layak bertanding jawatan nombor dua parti itu hanya penyandangnya Nasharudin Mat Isa (gambar atas), Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja Mohamad Sabu sudah mengesahkan menerima pencalonan.
Pendirian terbaru Tuan Ibrahim (gambar tengah), yang berubah fikiran untuk bertanding jawatan itu, bakal mencipta keputusan luar jangka kali ini walaupun Pesuruhjaya PAS Pahang itu sebelum ini mengumumkan belum bersedia untuk turun gelanggang.
Persoalannya siapa yang akan bertuah untuk berada di sebelah Hadi mulai akhir minggu depan?
Jika dilihat dari sudut pencalonan diterima, Mohamad atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” berpeluang untuk memenangi kerusi itu kali ini.
Melihat kepada prestasi Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok sebagai pemimpin utama parti, beliau didakwa gagal untuk mengangkat parti berada di kedudukan terbaik selain tidak membawa lebih banyak perubahan selaku timbalan kepada Hadi.
Nasharudin sudah dua penggal berada di kerusi itu. Mat Sabu cuba kali kedua manakala Tuan Ibrahim turun julung kali.
Walaupun Tuan Ibrahim dilihat calon bukan pilihan dari segi pencalonan, tetapi ternyata beliau adalah yang paling popular sejak kebelakangan ini.
Di atas kertas, ramai yang berpendapat Mohamad akan memenangi jawatan itu. Namun, ia masih belum menjamin kedudukan itu walaupun mendahului senarai pencalonan.
Persaingan jawatan timbalan presiden PAS kali ini agak unik kerana ia menyaksikan pertembungan dua pemimpin ulama dan seorang dari golongan profesional.
Jika hendak dibandingkan dengan pemilihan 2009, ia menyaksikan dua golongan profesional dan seorang golongan ulama yang membantu Nasharudin untuk mengekalkan jawatan itu.
Adakah undi golongan ulama akan berpecah ekoran keputusan Tuan Ibrahim memutuskan untuk turun gelanggang sekali gus membuka peluang cerah kepada Mohamad?
Ini antara persoalan di kalangan ahli dan pemerhati politik sekarang.
Menurut penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain, pendirian terbaru Tuan Ibrahim boleh menyebabkan kedudukan golongan ulama dalam jawatan nombor dua parti itu tergugat.
“Dalam tiga orang ini, di atas kertas Mat Sabu (gambar bawah) akan menang tapi kalau dalam Umno, orang yang dapat pencalonan paling banyak belum tentu boleh menang tapi saya percaya ahli dalam PAS ini jujur, yang mana mereka akan terjemahkan pada pemilihan nanti.
“Bagi saya pecah undi akan berlaku, tapi peluang Mat Sabu untuk menang lebih cerah sebab dalam pertandingan kali ini ada dua pihak dari golongan ulama dan satu dari profesional,” katanya.
Ahmad Atory menambah, “pecah undi, dalam golongan ulama sudah pecah kepada dua calon ini manakala yang selebihnya akan pergi kepada Mat Sabu.”
“Sebagai contoh dalam PAS ini ada 60 peratus golongan profesional dan 40 peratus golongan ulama dan kalau dari sini 40 peratus ini akan pecah kepada dua iaitu kepada Nasharudin dan Tuan Ibrahim dan yang 60 peratus ini kemungkinan akan pergi kepada Mat Sabu,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan golongan profesional dalam PAS semakin ramai ekoran pencalonan yang diterima Mohamad walaupun sebelum ini jawatan itu dimonopoli golongan ulama.
“Secara logik saya katakan Mat Sabu menerima pencalonan tertinggi sebab golongan yang sokong beliau lebih ramai tapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam pemilihan nanti,” katanya lagi.
Pandangan Ahmad Atory itu selari dengan pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian yang mengatakan penyertaan Tuan Ibrahim akan memberi kesan kepada keputusan pemilihan kali ini.
Tambah Sivamurugan, Tuan Ibrahim berhak untuk bertanding jawatan timbalan presiden kerana turut mendapat pencalonan, namun ia secara tidak langsung membolehkan Mohamad berada dalam kedudukan terbaik untuk menang.
“Beliau (Tuan Ibrahim) merasakan perlu bertanding untuk memenuhi kehendak mereka yang menyokong beliau,” katanya sambil menambah, “tetapi dilema akan berlaku apabila dua daripada golongan ulama berhadapan dengan seorang profesional, maka sudah pasti undi daripada golongan ulama akan berpecah.”
Oleh itu jelas beliau, isunya ialah sejauh mana ia boleh memberi kesan sehingga membawa kepada timbalan presiden daripada golongan bukan ulama.
“Kemungkinan itu boleh berlaku kerana kalau kita perhatikan pertembungan (Datuk) Husam (Musa) dan Mat Sabu dulu (2009), kalau dicampur melebihi undi Nasharudin,” katanya lagi.
“Ketika itu perpecahan undi berlaku antara Mat Sabu dan Husam. Adakah ini akan berlaku kali ini atau golongan ulama akan bersatu memberi sokongan kepada Tuan Ibrahim sehingga membawa kepada kejatuhan Nasharudin?” katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, perwakilan PAS perlu mengambil kira faktor jawatan timbalan presiden adalah kedudukan paling hampir untuk menjadi pengganti Hadi.
Justeru kata Sivamurugan, Hadi bersama-sama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan memainkan peranan untuk memilih pemimpin untuk membantu presiden.
“Saya rasa Hadi dan Nik Aziz akan tentukan calon mana yang akan menang dan perwakilan harus fikirkan bahawa jawatan nombor dua adalah pengganti paling hampir untuk jawatan nombor satu.
“Tapi pada pandangan saya, ini terletak sejauh mana Hadi akan memainkan peranan signifikan dalam menentukan pola pengundian bagi jawatan timbalan presiden yang boleh bekerja dengan beliau agar PAS akan kekal utuh,” katanya.
Beliau juga menjangkakan sekiranya pola pengundian tidak pecah, ia akan menyaksikan pertarungan sengit.
“Mat Sabu ada sokongan tetap sebagaimana yang beliau peroleh pada pemilihan 2009, pencalonan yang meningkat kali ini kemungkinan akan ada undi protes yang ditimbulkan beliau, di mana ada ahli yang mahukan perubahan.
“Nasharudin ada peluang, tapi kehadiran pertarungan tiga penjuru akan jadikan ia lebih sengit. Pertembungan antara dua ulama dan seorang profesional,” katanya.
Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berpendapat bahawa penyertaan Tuan Ibrahim tidak akan menjejaskan peluang Mohamad untuk menang.
Namun beliau juga menjangkakan pertarungan sengit akan berlaku.
“Ini akan menjadikan persaingan lebih sengit dan Tuan Ibrahim saya difahamkan dari golongan ulama dan ini akan meneruskan tradisi walaupun beliau mengumumkan pendirian agak lewat.
“Bagaimanapun saya lihat pencalonan yang diterima Mat Sabu amat memberangsangkan. Oleh yang demikian, saya berpendapat peluang masih kepada Mat Sabu.
“Selain itu, kehadiran Tuan Ibrahim akan memberi persaingan kuat kepada Nasharudin dan Mat Sabu... setakat ini apa yang saya lihat kelebihan masih kepada Mat Sabu,” kata penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini.
Ahmad Nidzamuddin juga menjangkakan pecah undi namun kelebihan dilihat masih memihak Mohamad.
“Akan berlaku pecah undi tapi peluang untuk Mat Sabu menang itu masih ada kerana beliau bukan sahaja pemimpin yang sudah lama dan diterima tapi salah satu kelebihan beliau adalah beliau seperti selebriti dalam PAS, semua orang kenal beliau.
“Jadi peluang untuk Mat Sabu menang itu masih ada, begitu juga dua calon lain tapi Mat Sabu ada kelebihan dari segi populariti,” katanya.
Seorang penganalisis dengan sinonim dengan politik PAS, Prof Dr A Aziz Bari berkata, beliau tidak nampak satu keperluan untuk Tuan Ibrahim bertanding jawatan itu berdasarkan prestasi pemimpin itu selama ini.
“Beliau memutuskan bertanding tentunya kerana beliau berasa ada peluang. Tidak timbul isu kewajaran kerana beliau berhak dan layak.
“Tetapi dalam konteks kedudukan PAS dalam konteks politik nasional dan Pakatan Rakyat, saya tidak nampak relevannya Tuan Ibrahim kerana beliau hanya jadi wakil rakyat selama sepenggal kemudian naib presiden, yang impaknya dalam politik nasional jika hendak diberbanding Mat Sabu, kurang,” katanya.
Justeru tegas beliau, perwakilan harus membuat keputusan bijak untuk memilih pemimpin yang layak untuk memegang jawatan itu sekiranya serius mahu melakukan perubahan.
“Jadi kalau perwakilan memilih Tuan Ibrahim atau Nasharudin ertinya perwakilan yakni pimpinan akar umbi PAS mahu parti itu terus syok sendiri dan tidak peduli perlunya PAS dilonjakkan sebagai parti alternatif kepada Umno-BN,” katanya.
Pun begitu katanya, terpulang kepada perwakilan untuk membuat pilihan. “Mereka kena fikir mana yang sesuai untuk parti dalam konteks dan landskap politik sekarang,” katanya. -TMI
May 27, 2011 at 12:02 AM
Apa salahnya kita bagi peluang kepada MAT SABU jd orang nombor 2 dalam PAS.Semangat juang yang kental dan kesungguhan dalam perjuangan boleh membuat perubahan dalam PAS.Bagaimana pun terpulanglah kepada perwakilan.Jadi kalau kita tak yakin pada Mat Sabu untuk memimpin PAS.....begitulah juga tak yakinnya orang Melayu dalam UMNO dan yg berada di atas pagar untuk mengganti UMNO/BN dengan PAKATAN RAKYAT bagi memerintah Malaysia.Jadi jangan salahkan mereka sedangkan kita sendiri tak yakin dengan ahli kita sendiri (bukan ulamak ) untuk memimpin kita.Maka jadilah PAS macam UMNO dalam pemilihan kepimpinan dan tak mahu kepada perubahan.
May 27, 2011 at 6:20 AM
CILI KASI TARUK Sama Parpu Kari Stout http://www.youtube.com/watch?v=E5ZUTeHV2_Y
May 27, 2011 at 11:59 AM
Pilihan pada Tuan Ibrahim Tuan Man... Nasarudin Mat Isa setelah 2 penggal menjadi timbalan presiden tetapi dilihat sebagai tidak berfungsi... baik diperingkat parti atau parlimen... Mat Sabu dilihat sebagai popular kerana kesediaan utk berkhidmat dan pada sisinya dilihat ada kekuatan tersendiri... tapi tidak menjadi pilihan sebab bukan dari kelompok Ulama'... Biarlah PAS diterajui oleh golongan ulama' untuk menjamin kesinambungan perjuangan asal PAS iaitu berdakwah.