(Update Terkini 5.30am) - 17 mayat berjaya dikeluarkan ! [Foto yang tidak disiarkan akhbar]
" Dilaporkan pada jam 5 pagi tadi, 17 mayat remaja lelaki berjaya dikeluarkan dan sebilangan jenazah di hantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. Takziah kepada semua keluarga mangsa berhadapan kesedihan tidak diduga.Saya percaya siasatan terperinci dan telus berhubung punca sebenar menyebabkan kejadian tanah runtuh akan dilakukan pihak berwajib. Mahu atau tidak, pasti ada pihak bakal terpaksa menjawab mengenai status kelulusan membenarkan bangunan dibina dicerun bukit.," - Mazidul Akmal Sidek
Catatan dan Foto yang tidak diterbitkan dimana-mana media cetak. Artikel ini ditulis oleh wartawan Mazidul Akmal Sidek yang berada sejak petang kelmarin sehingga jam 1 pagi tadi di tapak kejadian. Ikuti sebahagian laporannya.
Jam 6 petang, hujan turun mencurah curah, tiada tempat berteduh kecuali di bawah pokok di tepi jalan. Saya berasa bimbang jika barangan elektronik, antaranya Samsung Galaxy Tap dan kamera digital terkena air. Mujur beg galas Crumpler saya tidak ditembusi air. Lihat gambar saya rakamkan di lokasi kejadian tanah runtuh menimpa bangunan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, Kajang, Selangor.
6.09 petang, mangsa mengalami kecederaan parah di kaki digegaskan ke hospital.
Pakaian basah dan tubuh menggigil kesejukan akibat berada di dalam hujan lebih 1 jam. Jam 6.45 ketika hujan mula reda, tiba-tiba puluhan pekerja penyelamat berlari turun dari belakang bangunan dibina di lereng bukit kerana berlaku pergerakan tanah. Lensa kamera saya berkabus namun 3 gambar berikut sempat saya rakamkan.
Sebelum gambar dirakamkan, 2 mangsa dikeluarkan dari bawah runtuhan, maut. Hairan bagaimana bangunan separuh siap itu mendapat kelulusan didirikan di cerun bukit. Lokasi rumah runtuh, di bahagian atas belakang bangunan terbabit dan tidak kelihatan di dalam gambar kerana pihak media tidak dibenarkan mendekati kawasan bencana.
Di surau berhampiran, 2 mayat ditemui awal, sempurna dikafankan. Tidak ramai orang berada di lokasi terbabit kerana majoriti menumpukan perhatian terhadap usaha menyelamatkan mangsa masih tertimbus.
Saya difahamkan, seorang daripada mangsa, Mohd Zaim Azahari, berusia 14 tahun. Adiknya, Mohd Azed, 8 tahun dilaporkan turut terkorban. Saya sempat menemui bapa dan ibu mangsa, Azahari Mat Selek dan Noreha Ariffin di surau terbabit sebelum mayat dihantar ke Hospital Kajang.
Azahari, warden manakala Noreha, tukang masak di asrama Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa terbabit.
Saya percayai kanak-kanak bertudung merah di bawah, adik Mohd Zaim, terselamat ketika bangunan runtuh. Saya terpandang air mata jernih masih mengalir di pipinya sewaktuanak kecil itu melangkah keluar dari surau. Biarpun berusia mentah, saya yakin dia faham, abang dan adiknya kini sudah tiada lagi di dunia ini.
Catatan sebelum ini : TRAGEDI TANAH RUNTUH - 12 MAUT !
Sebanyak 12 mayat berjaya dikeluarkan dari tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia, Hulu Langat yang berlaku pada pukul 2.30 petang, Sabtu. Polis memaklumkan sehingga pukul 10.30 malam, sembilan lagi ditemui cedera termasukseorang lelaki dewasa berusia 22 tahun.
Sebanyak empat mangsa masih tertimbus dalam runtuhan itu. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba bagi meninjau tempat tragedi tanah runtuh kira-kira pukul 11.05 malam.
Terdahulu, sehingga pukul 7 malam, anggota bomba dan penduduk berjaya menyelamatkan tujuh mangsa yang terdiri daripada enam pelajar berusia antara 11 dan 17 tahun serta seorang penjaga di rumah anak yatim berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada satu sidang akhbar di sini berkata, 14 mangsa masih terperangkap dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kajang dan Hospital Ampang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui.
Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Dalam insiden malang itu, sebanyak 24 orang terselamat sementara 20 pelajar dan 4 penjaga menjadi mangsa. Tambahnya, kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.
Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang ini. Ekoran itu, bangunan setingkat itu musnah sama sekali dan sebuah surau berdekatan turut terkena runtuhan tanah itu.
Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat sehingga pukul 7 petang ini. (Mstar)
May 22, 2011 at 8:38 AM
Salam,
Takziah kepada semua keluarga mangsa. Semoga Allah memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka.
Jangan ada prasangka buruk. Kerana setiap apa yang berlaku ada hikmahnya buat kita yang masih menghuni alam milik Allah ini.
Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan Al-fatihah buat adik-adik tersebut. Amin
May 22, 2011 at 1:53 PM
AL FATIHAH. SEMOGA ADIK-ADIK YANG TIADA IBU BAPA TABAH, MEREKA KEHILANGAN ABANG DAN ADIK. SEMOGA DICUCURI RAHMAT KE ATAS ROH ADIK-ADIK YANG PERGI TERLEBIH DAHULU MENINGGALKAN KITA.