Mayat dan Iktibar (Siri 9) - Mulut mayat berbuih
Hari ini dipaparkan 1 siri yang dipetik dari tulisan Camar Putih tentang pengalaman beliau untuk sama-sama kita jadikan iktibar dan muhasabah diri. InsyaAllah.
Kisah ini berlaku seingat saya hampir 9 tahun yang lalu. Ketika itu saya bersama kawan-kawan yang lain dalam fatrah menduduki exam Sijil Menengah Rendah Agama ( SMRA ).
Seperti kebiasaannya, kami para pelajar agama aliran pondok, sering di undang untuk majlis-majlis keagamaan dan ‘adat tradisi’ orang kita. Dan hari kebiasaan pula selalunya hari khamis malam jumaat undangan orang kampong melimpah ruah. Nak ambil ‘berkat’ budak agama katanya. Undangan membaca yassin, solat jenazah, solat hajat, kenduri dan sebagainya bagaikan undangan orang besar buat kami.
Ringkas cerita, saya bersama kawan-kawan senior yang lain di undang untuk membaca 30 juzuk untuk seorang penduduk kampong yang baru meninggal petang tadi. Kami seramai 10 orang yang di pilih oleh ustaz bersiap sedia seperti biasa menunggu kenderaan untuk datang menjemput.
Tiba di rumah jenazah, waris arwah menyambut mesra kedatangan kami. Di bawa makan dan minum dahulu sebelum ‘beruzlah’ untuk semalaman bersama dengan jenazah.
Selesai mengisi ‘minyak’, kami bersama masuk ke dalam bilik jenazah. Kecil sahaja ruangnya. Jenazah yang terbaring kaku di atas katil, di tutup kemas dengan kain pelikat dan serban berwarna putih. Keadaan itu biasa sahaja bagi saya dan kawan-kawan yang lain.
Selesai mengambil tempat, kami membahagi juzuk dan ‘turn’ untuk giliran berjaga malam. Saya memulakan ‘larian’ pertama dengan 2 orang sahabat yang lain.
Jam menunjukkan malam kian menginjak ke persada rembulan mengambang. Saya bersama 2 orang kawan yang lain masih khusyu’ meneruskan pembacaan ayat-ayat suci Quran. Rumah waris jenazah kian lengang. Orang kampong yang ligat bersembang di ruang halaman rumah kian mengundur diri.
Sedang kami khusyuk membaca, masuk seorang waris bersama seorang tetamu untuk menziarahi jenazah. Saya yang kebetulan duduk di sisi kepala jenazah, membalas salam tangan yang di hulurkan.
Selesai tetamu itu menyedekahkan doa kepada jenazah, warisnya membuka penutup yang menutupi wajah jenazah yang tidak di singkap sedari tadi lagi.
Bacaan saya terhenti. Saya tergamam. Mata saya tepat memandang raut wajah manusia yang tidak bernyawa yang tidak langsung saya dan kawan-kawan tatapi sejak kami memulakan bacaan seawal jam 12 tengah malam.
Mulutnya mengeluarkan buih yang banyak!!
Waris jenazah membersihkan buih yang terdapat di mulut jenazah tersebut, namun ia terus keluar. Saya yang baru pertama kali melihat mayat yang berkeadaan sedemikian agak kaku dan terkejut.
Mungkin waris jenazah menyedari keadaan saya, lantas menutup kembali dan terus keluar bersama tetamu itu. Kawan-kawan yang melihat keadaan saya lantas bertanya bagaimana rupa jenazah itu. Saya hanya mampu membuat isyarat ‘diam dan jangan bertanya’ kepada mereka.
Bunyi binatang yang melata di kampong ceruk terus menghiasi suasana tengah malam. Saya yang melihat wajah jenazah sebentar tadi hanya terus memberanikan diri meneruskan bacaan. Enggan menceritakan kepada kawan-kawan yang lain sebagai menghormati ‘maruah’ jenazah yang terbaring kaku di hadapan kami. Dan satu lagi, agar mereka yang lain tidak terkesan emosi untuk terus berjaga malam!
Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar sehingga matahari menjengah wajahnya. Saya sempat berbual dengan waris jenazah tersebut dan beliau menceritakan kenapakah ia berkeadaan sedemikian.
Katanya jenazah tersebut adalah adiknya dan meninggal dalam umur 21 tahun! Pemergian adiknya adalah di sebabkan terlalu obses meminum minuman bergas dan memakan maggi! Cerita abangnya, adiknya jarang memakan dan meminum selain daripada itu. Pagi, tengahhari, petang, malam, itulah yang di jamahnya sehingga menemui ajal!
Wahh!!gerun juga saya mendengar cerita di sebalik tabir ini..
Apa pun, ajal maut di tangan Allah. Sedekah saya bersama kawan-kawan berbentuk 30 juzuk al-Quran sepanjang malam moga-moga menjadi pendiding buat Allahyarham di alam barzakh sana.
(*) artikel ini pernah diterbitkan di blog 'politikbanjar' versi asal pada 10 Ogos 2010 tahun lalu.
January 13, 2011 at 10:23 PM
salam perjuangan.teggakan kebenaran.allahuakbar