Video Adegan Seks - Seni pembunuhan karekter paling jelik !
Dalam sejarah tamadun dan pertembungan bangsa di dunia, terdapat pelbagai kaedah peperangan telah digunakan untuk mengalahkan musuh. Lazimnya, ia meliputi segenap aspek kehidupan hasil terciptanya peluang dari setiap konflik yang berlaku. Pertembungan yang berlaku juga disusuli dengan hidangan pelbagai permainan psikologi melibatkan setiap krisis dalam masyarakat.
Krisis dan konflik ini dimanipulasi mengikut selera perancang untuk mencapai objektif melemahkan musuh masing-masing. Dalam sesuatu keadaan, misi ini akan melibatkan dana yang tidak terhad bagi menembusi struktur masyarakat, mendoktrin pemikiran yang diperlukan melalui semua alat propaganda yang telah tersedia digunakan. Sudah semestinya semua misi ini dilaksanakan secara sulit oleh manusia atau kumpulan manusia yang agak kecil.
Dalam masa yang sama perancang jenayah ini, sentiasa membuat perbincangan secara berkala bagi tujuan mengukur kesan kepada serangan yang telah dilancar seterusnya merancang langkah susulan.
Pembunuhan karekter atau character assassination adalah antara kaedah popular digunakan dalam sesuatu pertembungan. Biasanya kaedah ini melibatkan individu tertentu yang menjadi ancaman kepada sesuatu pihak yang berkuasa atau yang mahu berkuasa. Kadang kala ia juga digunakan untuk menghapuskan peluang atau potensi yang sedia terbina pada musuh sebelum ianya bertambah besar menjadi ancaman yang lebih serius.
Dalam banyak operasi pembunuhan karektor ini, reputasi dan integriti musuh (mangsa) akan cuba dirosakkan melalui manipulasi fakta secara besar-besaran dan berlebihan bagi mencipta kesan psikologi serta persepsi buruk kepada musuh. Gambaran salah yang tercipta dari manipulasi fakta ini biasanya akan disusuli dengan tindakan untuk memalukan individu tersebut dengan hujah-hujah yang boleh dipertikaian tetapi dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh tertentu.
Bagi memastikan misi yang dilancarkan berjaya, semua saluran yang boleh digunakan musuh untuk membetulkan fakta dengan hujah balas mesti ditutup rapat. Sebarang langkah yang mungkin perlu dilaksanakan termasuk memalukan atau memukul mangsa serta orang bersimpati dengan mangsa. Tekanan perlu dilaksanakan secara berterusan kepada pihak yang bersimpati dengan mangsa termasuk menggunakan kelemahan individu berkenaan supaya diam dan jangan berbuat apa-apa. Biasanya kerja-kerja bagi peringkat ini akan dilakukan oleh askar-askar upahan tanpa mereka mengetahui siapa perancang sebenar.
Dalam banyak kes, pembunuhan karektor akan memberi kesukaran kepada mangsa untuk berkomunikasi kerana mungkin akan ditolak oleh keluarga, kawan-kawan dan masyarakat. Ada juga kes yang meninggalkan stigma konflik imej dan persepsi buruk kepada mangsa sepanjang hayat walaupun fakta sebenar hanya mewakili peratus yang sangat kecil dari apa yang dihidangkan. Lebih teruk lagi jika mangsa sememangnya tidak bersalah tetapi terperangkap dengan keadaan semasa yang menyukarkan pendedahan hakikat sebenar dilakukan.
Jika dilihat dari sejarah dunia, pembunuhan karektor menjadikan kemusnahan persepsi berlaku kepada mangsa selama berabad-abad atau merentas generasi demi generasi sebelum fakta sebenar ditemui. Biasanya perkara ini terjadi kepada figur politik atau dalam lingkungan politik di sesuatu tempat atau negara.
Adalah menjadi kebiasaan, setiap misi pembunuhan karektor akan melibatkan peranan media yang maksima, malah tidak keterlaluan jika dikatakan kebijaksaan propaganda media akan menentukan sejauh mana kejayaan dalan operasi pembunuhan karektor.
Pada masa kini, peranan media dalam operasi pembunuhan karektor telah dirancakkan lagi dengan munculnya media baru hasil ledakan teknologi maklumat. Jika dulu, semua operasi serangan perlu melalui media perdana (cetak atau elektronik) menyebabkan keberkesanan manipulasi media hanya berkisar kepada pemerintah atau orang yang mempunyai akses kepada media tersebut. Tetapi, kepesatan teknologi maklumat membolehkan saluran media baru ini digunakan oleh sesiapa saja yang mempunyai kepakaran dalam melaksanakan operasi pembunuhan karektor.
Tidak dinafikan, gerak saraf oleh sekumpulan manusia juga perlu untuk membuat susulan bagi setiap propaganda yang dilancarkan. Bagaimanapun, media baru tetap menjadi saluran utama kerana capaian yang dibuat adalah meliputi seluruh muka bumi ini.
Perancang misi pembunuhan karektor akan menggunakan blog, facebook, tweeter dan pelbagai saluran media baru yang tersedia di dalam lebuhraya maklumat. Semua alat ini akan digunakan untuk mendedahkan kelemahan musuh, mencipta musuh baru kepada mangsa melalui manipulasi fakta dan menggambarkan mangsa sebagai bebanan kepada masyarakat atau sesuatu organisasi.
Corak laporan yang berat sebelah dan menafikan hak musuh untuk membalas hujah serta mencipta kenyataan negatif yang tidak disebut oleh mangsa melalui saluran ini akan menjadikan kesan berganda kepada misi seterusnya mendorong kejayaan kepada operasi pembunuhan karektor dalam masa tertentu.
Walau apapun yang berlaku, mangsa yang mengalami serangan biasanya akan mencari jalan alternatif untuk membersihkan nama kerana tidak semua operasi pembunuhan karektor melalui propaganda media akan berjaya. Kadang-kadang kejayaan yang telah dicapai oleh perancang hanya bersifat sementara sahaja tetapi telah diraikan dengan penuh bangga oleh perancang dan sekutunya.
Sejauh mana kejayaan operasi pembunuhan karektor dan pembersihan semula imej mangsa bergantung kepada tektik dan strategi masing-masing. Setiap tindakan yang melampau akan dilihat secara sinis sekurang-kurangnya kepada mereka yang bijak membaca gerak tari tindakan tersebut.
Sebagai pedoman kepada mangsa, Islam mengajar kita semua untuk sentiasa solat dan berdoa kepada Allah swt di atas sebarang musibah yang berlaku. Di samping sentiasa muhasabah diri, doa dikira sangat berkesan untuk meluahkan perasaan kepada Allah swt di atas pengkhianatan yang berlaku. Kita perlu sama-sama merujuk kepada ajaran Islam yang menyebut “doa itu adalah senjata bagi orang mukmin.” Dan “doa orang yang dizalimi tiada hijab disisi Allah swt.”
Setiap sesuatu yang terjadi perlu dilihat dari perspektif yang baik dan positif di samping menanam keyakinan setiap perbuatan khianat dan zalim akan dibalas oleh Allah samada di dunia atau di akhirat jua.
“Ya Allah, tuhan yang maha berkuasa, pohon engkau beri pertolongan kepadaku di atas orang yang berbuat zalim kepada ku, pohon engkau beri pembelaan kepada ku di atas orang yang mengkhianatiku, pohon engkau membalas bagi diriku di atas orang yang menjatuhkan maruah dan kehormatanku. Engkau balas bela lah diriku dan hukumlah dengan hukuman yang setimpal diatas perbuatan mereka serta kembalikan segala perancangan jahat mereka itu kepada mereka sendiri. Amin ya rabbal alamin”. (tulisan arif fahmi untuk albanjari online)
March 21, 2011 at 5:04 PM
pembunuhan karakter?
Suruh bersumpah, taknak. Suruh bagi DNa secara rela, taknak. Sekarang keluar video. Mungkin, lepas ni taknak sumpah. taknak mengaku. And mungkin keluar ayat2 macam linggam. Ini pembunuhan karakter!
Tapi, Najib dituduh bunuh altantunya. Disuruh bersumpah dia bersumpah. berkali2. dicabar bagi DNA, takde hal. Ini pun pembunuhan karakter.
Tapi siapa yg berani hadapi tuduhan tadi? Siapa yg lari dan mengelak?
March 21, 2011 at 7:48 PM
Ya Allah Kau tunjukkanlah kebenaran.hapuskanlah kepalsuan.